Selasa, 15 Mei 2012

Hari Nakba

Tanggal 15 Mei 1948 merupakan detik sejarah buat rakyat Palestin kerana pada tarikh keramat ini telah berlaku pencerobohan Israel ke atas tanah Palestin. Nakba bermaksud “bencana”. Peristiwa ini telah meyebabkan ramai rakyat yang cedera dan banyak nyawa yang terkorban. Pencerobohan ini menjadikan seramai 700 000 rakyat Palestin sebagai pelarian kerana 500 buah kampung dan bandar musnah.


 

          Hari Nakba ini mula disambut pada tahun 1998 oleh Yasser Arafat dengan kehadiran lebih sejuta orang dalam perarakan. Hari ini diraikan dengan ucapan dan perarakan di Tebing Barat, Gaza dan di negara-negara Arab. Tunjuk perasaan berlaku di London pada tahun 2003 dan pada tahun 2004 pula ia diadakan di New York.

        Sejak peristiwa pengusiran ini, dianggarkan seramai 4.7 juta keturunan Palestin yang berlindung di negara-negara jiran seperti Lubnan, Mesir, Jordon dan negara-negara lain. Namun terdapat juga dalam kalangan mereka yang tinggal dalam kem-kem pelarian. Sebanyak 160 000 orang Palestin tetap tinggal di Wilayah Israel dan dikenali sebagai Arab Israel. Mereka dikatakan kini berjumlah sekitar 1.3 juta. Setelah 64 tahun telah berlalu, rakyat Palestin terus-terusan diancam Israel dengan tindakan seperti:

1.) Rejim Zionis terus melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini Yahudi telah berjaya merampas dan menguasai kira-kira 90 peratus dari keseluruhan bumi Palestin.

2.) Peningkatan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian kiblat pertama umat Islam dalam rangka mereka mengyahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al-Aqsa dan mendirikan kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang.

3.) Melakukan penangkapan dan memenjarakan orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu dalam kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Mereka yang dipenjara terdiri daripada orang tua, kanak-kanak serta wanita hamil dan sakit.

4.) Sekatan ekonomi yang dirancang rapi oleh Zionis menyebabkan orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai dalam kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran. 

5.) Ramai di kalangan kanak-kanak Palestin dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah hanya peratusan yang sangat kecil.

6.) Rejim Zionis telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 kilometer di Tebing Barat. Tembok ini telah menyekat kehidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.

7.) Kira-kira seramai 6.45 juta dalam kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak puluhan tahun yang lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai dalam sejarah peradaban dunia.

8.) Rejim Zionis kini berterusan menyeksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui oleh pemimpin kanan mereka sebagai kehancuran yang besar.

Tuntasnya, Sebagai saudara seagama, kita rakyat Malaysia wajar memperingati peristiwa ini sebagai sokongan terhadap Palestin dan sebagai tanda bahawa kita mengecam tindakan Israel ini. 




 
Copyright 2012 © Reserved to Arimaliamsi Design By Cik Nurfarah